Isnin, 20 Mei 2013

Cara Mengenal Antara Original Set vs AP Set vs Underwater Set Untuk Telefon Pintar

Pelbagai jenis telefon pintar tidak kira jenis model, jenama dan kualiti. Dengan kebanjiran pelbagai jenis telefon pintar di pasaran, ramai orang mengambil kesempatan untuk menjual telefon pintar AP set dengan menjual harga murah berbanding dengan harga original set daripada pengedar sah. Penjual sering bercakap pasal AP set dan Original set, tetapi bagaimana dengan Underwater set? Sila tekan 'Baca lagi' untuk selanjutnya!





Original Authorised Set (ORI)

Apa yang dimaksudkan dengan ORI sebenarnya ialah telefon-telefon yang diedarkan oleh PENGEDAR YANG SAH yang dilantik dan diberi lesen pengedaran yang khas oleh pengeluar-pengeluar telefon seperti Nokia, Samsung, Motorola, Sony Ericsson (Sony), LG dan lain-lain lagi.

Telefon ini telah disediakan khas untuk jualan di Malaysia dengan beberapa sistem yang diselaraskan dengan sistem yang disokong oleh syarikat telekomunikasi Malaysia. Contohnya sistem bahasa Malaysia dalam telefon bimbit dan dalam buku panduannya.

Walaupun harganya mungkin agak mahal, tetapi anda akan rasa lebih selamat menggunakannya kerana jaminan yang diberikan adalah jaminan oleh PENGILANG sendiri. Ertinya, sekiranya berlaku kerosakan telefon anda, termasuk kerosakan kamera, anda boleh mohon warranty dalam tempoh jaminan tersebut. Bahkan dalam sesetengah kes, pada luar tempoh jaminan pun dapat juga.

Cari sahaja cawangan NOKIA, atau SAMSUNG atau apa jua jenama di negeri-negeri seluruh Malaysia, anda boleh bawa ke mana-mana cawangan jika ada kerosakan. Bahkan bagi sesetengah telefon ada Insurans untuk kerosakan apabila telefon masuk air pun!

Berikut adalah senarai pengedar SAH (Authorized Distributor) bagi jenama telefon di Malaysia:
1. NOKIA - Zitron, Avaxx.
2. SAMSUNG - SME (Samsung Malaysia Electronics).
3. Motorola - Brightstar.
4. SonyEricsson (Sony) - Midland, Thorus, Dynamics.
5. HTC - Brightstar, SIS (SiS Distribution).
6. BlackBerry - Brightstar.

Itulah antara Syarikat yang merupakan pengedar yang sah di Malaysia. Selain daripada itu adalah pengedar tidak sah walaupun mereka dakwa ORI set. Selain daripada jaminan yang boleh menenangkan jiwa, anda juga boleh menyertai Kelab atau majlis yang disediakan oleh Samsung / Sony Ericson (Sony) atau lain-lain dengan memasukkan no siri telefon yang original anda.


AP Set (Diimport secara sah)


Apa pula AP set? AP set ialah telefon yang diimport dengan kebenaran kastam, yakni telah dicukaikan oleh kastam dengan mendapat Approval Permit. AP set ertinya telefon ini diimport oleh Syarikat yang selain daripada pengedar yang sah (Authorised Distributor) seperti yang telah disebutkan tadi.

Ada di antara syarikat-syarikat yang import ini adalah syarikat yang besar. Jadi mereka boleh memberi jaminan yang agak elok juga, kerana syarikat jenis ini banyak cawangan di seluruh malaysia. Jaminan yang diberikan bukanlah jaminan daripada NOKIA atau SAMSUNG atau Sony atau dengan kata lain, bukan jaminan pengilang, tetapi jaminan oleh pengimport itu sendiri.

Oleh itu, jaminannya sangat terhad. Terutama apabila telefon mempunyai masalah sehingga pengecaj dengan beteri kadang kala barang tiruan yang digunakan, bukan yang original daripada kilang telefon itu sendiri.

Underwater Set (Telefon Seludup)


Underwater set ialah telefon yang dimasukkan ke Malaysia secara haram, tanpa membayar cukai. harganya jauh lebih murah, tetapi jaminan yang diberikan oleh penjual sahaja. Ertinya kalau rosak, anda tak boleh pergi ke tempat lain kecuali kedai itu. Pengecas dan bateri biasanya adalah yang tiruan saja.

Antara AP dan Underwater ini kadang-kadang saling bercampur baur. Ada yang didakwa AP tetapi sebenarnya diimport secara haram. Bahkan kalau anda periksa di telefon anda ada logo syarikat telekomunikasi luar negara seperti Vodafone atau Verizone atau Docomo, memang sahlah telefon itu adalah underwater, atau pun sekurang-kurangnya AP.

Jadi, bila membeli yang AP atau yang ORI, anda janganlah mengharapkan warranty yang bagus. Apatah lagi kalau masuk air.

BAGAIMANA NAK CAM???

Bagaimana nak tahu yang diedarkan secara sah atau telefon jenis Ori set dengan AP set ini. Untuk nak tau sama ada telefon itu jenis edaran oleh pengedar sah ini;

Paling utama:
anda kena lihat pada sticker belakang henfon, kalau tertulis selain dariapada syarikat-syarikat yang sah yg disebutkan di atas, maka ia adalah AP atau Underwater. Stiker yang ORI biasanya tidak akan ditampal melindungi nombor siri telefon.

Kedua:
Anda boleh tengok kad warranti, kad warranti daripada pengedar sah, akan tertera nama syarikat pengedar yang sah tersebut.

Ketiga:
No Siri telefon: IMEI di belakang battery telefon itu sama dengan nombor siri di kotak. Jika anda membeli yang ORI, pastikan anda dapat kotak yang ada Nombor Siri yang sama dengan henfon. Sekalipun di telefon anda tertulis ZITRON, jangan terima kotak yang nombor sirinya berbeza dengan di telefon anda kerana mungkin penjual tersebut sudah membuka kotaknya awal dan tertukar dengan kotak lain yang sama model. Bagi mengelak situasi tersebut, pastikan penjual membuka pelekat Sealed di hadapan anda bagi memastikan telefon tersebut benar-benar di ambil dari kotak tersebut dan tidak pernah digunakan. 

Itulah sedikit sebanyak panduan yang mungkin sudah biasa bagi sesetengah orang tapi mungkin satu pengetahuan bagi sesetengah orang. Dengan penjelasan ini, diharap anda tidak tertipu lagi dengan istilah ORI yg selalu digunakan oleh penjual-penjual di kedai telefon pintar. Sekurang-kurangnya kalau anda nak beli yang AP pun, anda tahu yang itu memang AP dan anda dah tahu yang mana yang ORI dan yang mana yang AP.

Sekarang ini, terpulanglah untuk anda memilih yang mana sesuai bagi anda. Nak murah, pilih AP, ada duit lebih ambik yang ORI lagi selamat.

Artikel daripada : Facebook Gajet Student Price (Afifi Saidan)

Tiada ulasan: